Monday, April 26, 2010

3.1. hikmah kebijaksanaan

Berdakwah dengan cara hikmah kebijaksanaan (bil-hikmah).

Masyarakat Arab Jahiliyyah merupakan masyarakat yang menjadi makmal kepada keberkesanan metode dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ternyata bahawa hasil daripada ujian tersebut sangat baik lantaran masyarakat Arab yang tidak mempunyai pedoman dan pegangan telah menjadi masyarakat yang beriman kepada Allah, masyarakat yang mundur telah bertukar menjadi masyarakat yang bertamadun. Adalah penting untuk diteliti bahawa masyarakat Arab ketika itu sebagai model untuk dijadikan ikutan lantaran wujudnya kebaikan sebaik sahaja mereka memeluk Islam.

Rasulullah s.a.w. berdakwah kepada semua golongan dan peringkat masyarakat. Sasaran dakwah baginda bermula dari peringkat bawahan seperti golongan hamba hinggalah ke peringkat atasan seperti pemimpin negara. Baginda juga berdakwah kepada orang-orang Yahudi dan Kristian yang pernah menerima dan beriman dengan Kitab Allah, begitu juga dengan golongan penyembah berhala. Bagi menarik perhatian pelbagai kelompok dan golongan ini agar mengenali dan menerima Islam, baginda menggunakan pelbagai pendekatan. Perkara ini sangat penting kerana setiap kelompok mempunyai keperluan dan masalahnya yang tersendiri.

Oleh itu, menyampaikan dakwah dengan hikmah kebijaksanaan boleh dilaksanakan melalui penggunaan tutur kata yang lemah lembut dan menarik; hujah yang konkrit dan mudah difahami yang dapat menyingkap kebenaran dan menghilangkan keraguan; menggunakan pendekatan psikologi untuk mendekatkan manusia dengan agama; dakwah yang disampaikan sesuai dengan tingkat pemikiran seseorang individu; serta mengenali dan memahami sasaran dakwahnya.

No comments:

Post a Comment