Wednesday, April 21, 2010

2. Definisi Dakwah.

Definisi Dakwah.

Salah satu sifat Rasulullah s.a.w. yang wajib diimani adalah at-tabligh atau
menyampaikan. Subjek yang perlu disampaikan oleh baginda kepada umat
manusia adalah risalah Islam dan proses ini dikenali sebagai dakwah.
Dakwah dari segi bahasa ertinya menyeru, mengajak, memanggil,
menyampai dan mendorong (5M). Perkataan lain yang seiring dengan
dakwah adalah seperti al-wa’zu, al-irsyad, at-tabligh dan lain-lain yang
seumpamanya. Dari segi istilah, ia boleh dimaksudkan sebagai mengajak
atau menyeru manusia ke jalan Allah dengan menyuruh mereka melakukan
kebaikan dan mencegah kemungkaran agar beroleh kejayaan serta
kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Berdasarkan pengertian ini, dakwah memberi makna yang jelas untuk
mengajak umat manusia supaya menghayati Islam sebagai satu cara hidup
yang lengkap dan syumul. Islam dipraktikkan dalam segenap aspek
kehidupan tanpa wujud pemisahan dan pengasingan, sebagai mana firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman. Masuklah kamu ke dalam agama Islam
(dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut
jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang
terang nyata.

Dalam konteks kehidupan hari ini, dakwah haruslah dilaksanakan oleh setiap
individu muslim bagi memakmur, mengislah serta mengangkat nilai dan
martabat manusia. Pentingnya gerakan dakwah ini perlu dilihat melalui
fenomena yang berlaku dan melanda umat Islam di zaman ini seperti
pengaruh sekularisme yang telah lama bertapak dalam kehidupan
masyarakat Islam sehingga mempengaruhi pemikiran, perasaan, pandangan
serta cara hidup; gejala keruntuhan sosial yang semakin membimbangkan
termasuklah perkara yang melibatkan penghakisan iman dan akhlak serta
penyelewengan akidah; serta gerakan musuh Islam yang membuat pelbagai
persediaan, perancangan dan strategi yang bergerak secara tersusun bagi
menjauhkan umat Islam dari agamanya dengan menimbulkan keraguan
terhadap agama Islam.

Tetapi yang paling penting dan utama bagi gerakan dakwah adalah untuk
memenuhi tanggungjawab manusia sebagai khalifah dan memenuhi tuntutan
al-Quran supaya dilahirkan dalam kalangan manusia satu jamaah atau
organisasi yang bertanggungjawab mengajak manusia kepada yang makruf
dan mencegah kemungkaran. Firman Allah s.w.t.3 yang bermaksud:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah)
kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala
perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk
dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Menurut Tafsir al-Jalalain, kalimah ‘al-khair’ (kebajikan) yang disebut dalam
ayat ini bermaksud Islam. Dalam hadis pula, Rasulullah s.a.w. menerangkan
‘al-khair’ yang tersebut dalam ayat ini adalah ‘menurut ajaran al-Quran dan
sunnahku’. Di samping itu, Rasulullah s.a.w. sendiri telah berpesan kepada
umatnya dengan satu amanah yang mesti dilaksanakan melalui sabda
baginda yang bermaksud: ‘Sampaikanlah sesuatu daripadaku walaupun
sepotong ayat’. Ia jelas terbukti bahawa jaminan Allah s.w.t. bahawa
kejayaan, kecemerlangan dan kesejahteraan akan dapat dicapai apabila
terdapat usaha yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan
tanggungjawab berdakwah.

Materi atau isi dakwah yang disampaikan hendaklah berlandaskan kepada al-
Quran dan hadis sebagai sumber rujukan yang utama. Usaha dakwah yang
tidak merujuk atau berlawanan dengan dua sumber yang utama ini tidak akan
dapat mencapai tujuan dan matlamat dakwah yang sebenar. Lantaran itu,
umat Islam pada zaman awal kemunculannya adalah merupakan generasi
pendakwah yang paling berjaya dan berkesan apabila mengambil atau
mencedok al-Quran dan hadis sepenuhnya. Ia dibuktikan dengan luasnya
pengaruh empayar Islam di zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat dan tabiin
selepasnya.

No comments:

Post a Comment