Monday, April 26, 2010

4. Tanggungjawab dan Peranan Pendakwah.

Tanggungjawab dan Peranan Pendakwah.

Menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran adalah satu risalah agung dan tugas yang mulia dan suci. Risalah ini bermula semenjak Allah s.w.t. mencipta manusia, makhluk yang paling mulia di atas muka bumi, merekalah para nabi dan rasul semenjak nabi Adam a.s. diciptakan sehinggalah nabi Muhammad s.a.w. iaitu nabi dan rasul yang terakhir, ianya berterusan hinggalah ke akhir zaman. Allah s.w.t. telah mengutuskan seorang rasul untuk setiap umat yang telah tersesat, terpesong dan menjauhi manhaj-Nya. Para nabi dan rasul bertugas untuk memimpin dan mengingati manusia ke arah jalan yang lurus dan menyeru mereka kepada-Nya.

Allah s.w.t. telah mengutuskan nabi Musa a.s. kepada Firaun yang angkuh dengan mengaku bahawa dialah Tuhan. Begitu juga Allah s.w.t. mengutus nabi Nuh a.s. kepada kaumnya yang sesat dan mensyirikkan Allah dengan menyembah patung yang tidak berkuasa untuk memberi sebarang manfaat atau mudharat. nabi Lut a.s. diutuskan kepada kaumnya yang menyimpang dan mempunyai kelakuan yang amat memalukan iaitu hubungan seks sejenis (homoseks). Kemudian diutuskan pula nabi Hud a.s. kepada kaum ‘Ad dan nabi Saleh kepada kaum Tsamud, untuk memperbetulkan mereka. Manakala nabi Muhammad s.a.w. pula diutuskan kepada seluruh umat manusia bagi mencapai kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Tugas utama para nabi dan rasul adalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka telah menghadapi pelbagai rintangan, halangan dan penganiayaan daripada musuh-musuh yang membencinya, malahan mereka turut diseksa semasa menyampaikan risalah agung ini. Walaubagaimanapun, mereka tetap tabah dan sabar dalam menghadapinya dengan berjihad untuk melaksanakan tugas dakwah agar diterima oleh umat manusia. Begitu juga dengan para pendakwah pada masa kini, tugas berdakwah adalah penting dalam usaha membangunkan ummah yang seimbang dan berkualiti.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din, telah menyatakan beberapa langkah yang perlu diikuti oleh para pendakwah dalam melaksanakan usaha dakwahnya, antaranya:

1. Memberitahu dan menasihatkan masyarakat supaya menjauhi perkara yang mungkar. Terdapat sesetengah golongan yang tidak menyedari bahawa apa yang dilakukan itu adalah perkara yang mungkar. Oleh itu, pendakwah perlu memberitahu dan menasihati mereka agar menjauhi dan meninggalkan perbuatan tersebut.
2. Memberi peringatan, nasihat dan pengajaran atau balasan yang akan diterima sekiranya masih elakukan kemungkaran.
3. Memberi peringatan tentang nikmat Allah yang tidak ternilai dan terbilang dan wajib bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan.
4. Memberi peringatan terhadap pengajaran umat terdahulu. Satu persoalan yang sering ditimbulkan, adakah usaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan tugas setiap mereka yang bergelar muslim atau hanya tugas pendakwah semata-mata? Hukum menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah fardhu kifayah, walaubagaimanapun setiap muslim harus memikul tanggungjawab ini secara bersama sepertimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya (kuasa), jika ia tidak mampu maka hendaklahlah ia mencegah dengan lisannya, jika ia tidak mampu hendaklah ia mencegah dengan hatinya. Dan yang demikian itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim).

Hadis ini ditujukan kepada setiap umat Islam. Ini bermakna setiap umat Islam itu mampu untuk melaksanakan tanggungjawab ini dan ia merupakan tugas asasi bagi pendakwah mengikut kemampuan dan tanggungjawabnya. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan salah satu sifat yang baik antara sifat-sifat seorang Muslim.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong kepada setengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang.

Ibn Taimiyah pernah berkata, ‘Setiap manusia di atas muka bumi ini hendaklah menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Ia patut melakukannya walaupun terhadap dirinya sendiri dengan cara yang baik atau sebaliknya’.

Ibn al-Arabi al-Maliki pula berkata, ‘Menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran merupakan asas agama dan salah satu daripada tiang agama yang ditegakkan oleh umat Islam dan khalifah Tuhan sekelian alam. Ini merupakan tujuan utama Allah s.w.t. mengutuskan para nabi dan fardhu atas seluruh manusia sama ada berdua atau bersendirian mengikut kemampuannya’.

No comments:

Post a Comment