Tuesday, April 20, 2010

1. PENGENALAN DAKWAH

PENGENALAN DAKWAH.

Pendahuluan.

Setiap Muslim yang komited dengan ajaran Islam adalah bertanggungjawab
untuk melaksanakan suatu tugas yang suci dan paling mulia iaitu berdakwah.
Tugas ini adalah merupakan warisan para nabi kepada umatnya untuk
dilaksanakan dengan sebaik mungkin serta dengan segala keupayaan dan
kemampuan yang dimiliki. Keagungan dan kegemilangan umat Islam pada
zaman silam hingga muncul sebagai khaira ummah ketika itu, adalah
berpunca daripada kejayaan mereka yang dapat melaksanakan
tanggungjawab dakwah dengan berkesan. Mereka berusaha dengan penuh
kegigihan mengajak manusia ke jalan Allah, menyeru melakukan kebaikan
dan mencegah segala bentuk kemungkaran.

Apabila merujuk kepada sejarah para nabi, memang diakui bahawa usaha
dakwah yang dilakukan hanyalah untuk kaum mereka sendiri sebagaimana
Nabi Musa a.s. kepada kaum Bani Israil, begitu juga dengan Nabi Isa a.s.
Nabi Hud kepada kaum ‘Ad dan Nabi Saleh kepada kaum Tsamud. Namun,
berbeza dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutus kepada seluruh umat
manusia dan risalah yang dibawanya membawa rahmat kepada sekalian
alam dan seluruh umat manusia selepasnya tanpa mengira sempadan
geografi, warna kulit, bangsa, bahasa, budaya serta merentasi zaman dan
masa.

Ia memberi petunjuk bahawa usaha yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
hendaklah diwarisi dalam kalangan umatnya tanpa mengira mereka itu orang
Arab atau pun ‘ajam, tidak mengira mereka yang berada di Asia mahu pun di
Eropah. Oleh kerana Islam mempunyai nilai sejagat dan diperakui membawa
rahmat, agama yang suci ini tidak akan tersebar luas memenuhi ruang di
seluruh pelusuk alam sekiranya usaha dakwah tidak dijalankan dan dilakukan
oleh mereka yang berilmu dan memahami serta mengetahui
tanggungjawabnya sebagai pendakwah.

Memahami metode dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah
penting kerana apa yang ditunjukkan oleh baginda tentang cara berdakwah
adalah merupakan satu sunnah. Ia merupakan prinsip asas bagi persediaan
dan pelaksanaan dakwah itu sendiri. Sekiranya ia tidak dapat difahami secara
jelas, maka dikhuatiri usaha dakwah menjadi kurang berkesan dan tidak
sampai kepada matlamat yang dituju.

No comments:

Post a Comment